Pengambilalihan Sunway–IJM RM11 Bilion: Implikasi terhadap Pemilikan Saham GLIC dan Bumiputera

KUALA LUMPUR — Sunway Bhd mengumumkan tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat ke atas IJM Corporation Bhd dengan nilai keseluruhan kira-kira RM11 bilion, satu urus niaga mega yang dijangka mengubah landskap korporat, pembinaan dan pemilikan aset strategik negara.

Penggabungan ini, jika berjaya dilaksanakan sepenuhnya, bakal menyaksikan peralihan kawalan IJM — sebuah syarikat yang selama ini didominasi pemegang saham institusi kerajaan (GLIC) — kepada Sunway, kumpulan yang 60% dimiliki oleh Tan Sri Jeffrey Cheah, seorang ahli perniagaan Malaysia berketurunan Cina.

Sunway menggambarkan langkah ini sebagai usaha membentuk “juara kebangsaan”, pengambilalihan tersebut turut menimbulkan persoalan besar berkaitan pemilikan aset strategik negara, peranan GLIC serta kedudukan Bumiputera dalam ekosistem korporat Malaysia.

Walaupun Sunway telah mengumumkan tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat, IJM sebelum ini menafikan bahawa sebarang pengambilalihan telah berlaku, menegaskan bahawa cadangan tersebut masih tertakluk kepada penerimaan pemegang saham dan kelulusan pihak berkuasa. Buat masa ini, tiada kawalan yang berpindah tangan secara rasmi.

Namun, hakikat bahawa tawaran ini melibatkan nilai sekitar RM11 bilion, berpotensi membawa kepada penyahsenaraian IJM, serta implikasi besar terhadap pemilikan aset strategik negara, menjadikan cadangan ini tidak boleh dipandang sebagai urus niaga biasa, walaupun masih berada pada peringkat cadangan.

Struktur Tawaran: RM3.15 Sesaham, Majoriti Melalui Saham Sunway

Di bawah cadangan pengambilalihan itu, Sunway menawarkan harga RM3.15 bagi setiap saham IJM, mewakili premium 14.55% berbanding harga penutup terakhir IJM pada RM2.75.

Pembayaran akan dibuat melalui gabungan:

  • 10% tunai, dan
  • 90% melalui penerbitan saham baharu Sunway pada harga terbitan RM5.65 sesaham.

Sebagai ilustrasi, bagi setiap 1,000 saham IJM, pemegang saham akan menerima:

  • RM315 tunai, dan
  • kira-kira 501 saham Sunway, bernilai sekitar RM2,835 berdasarkan harga terbitan.

Komponen tunai berjumlah kira-kira RM1.1 bilion akan dibiayai melalui gabungan pembiayaan hutang dan dana dalaman Sunway.

Potensi Dinyahsenarai: IJM Berisiko Menjadi Syarikat Persendirian

Tawaran ini tertakluk kepada syarat Sunway memperoleh lebih 50% saham mengundi IJM, selain kelulusan pihak berkuasa dan pemegang saham.

Sekiranya penerimaan mencapai 90% atau lebih, Sunway berhasrat melaksanakan hak pengambilalihan wajib ke atas baki saham dan seterusnya menyahsenarai IJM daripada Bursa Malaysia Securities.

Malah, Sunway turut memaklumkan bahawa sekiranya pegangan saham awam jatuh di bawah paras minimum selepas tawaran, ia tidak bercadang memulihkan pegangan awam, sekali gus membuka laluan kepada IJM beroperasi sebagai syarikat persendirian. Urus niaga ini dijangka selesai pada suku ketiga 2026.

Peranan GLIC: Persepsi Penyerahan Kawalan

Antara isu utama yang dibangkitkan pemerhati pasaran ialah persepsi bahawa GLIC kerajaan — termasuk PNB, KWSP (EPF), KWAP dan Urusharta Jemaah, yang merupakan pemegang saham utama IJM — melepaskan kawalan kepada Sunway.

IJM sebelum ini dikenali sebagai syarikat diurus secara profesional, dengan pemegang saham institusi dan bukan dikawal oleh keluarga atau individu tertentu. Pengambilalihan ini dilihat bakal menamatkan era sebuah entiti korporat bebas yang dihormati, dan menggantikannya dengan struktur pemilikan yang lebih tertumpu.

Aset Strategik Negara Bertukar Tangan

IJM bukan sekadar syarikat pembinaan. Ia merupakan:

  • pemilik empat konsesi lebuh raya bertol, dan
  • pemilik lebuh raya bertol kedua terbesar di Malaysia.

Selain itu, IJM memiliki 60% kepentingan dalam Pelabuhan Kuantan, satu lagi aset strategik negara, dengan baki 40% dimiliki oleh pemegang saham dari China.

Sekiranya pengambilalihan ini dimuktamadkan, pemilikan aset-aset strategik tersebut akan berpindah kepada Sunway, kumpulan yang majoritinya dimiliki oleh Tan Sri Jeffrey Cheah.

Datuk Afdlin Shauki, Ketua Cabang PKR Setiawangsa, menyuarakan bantahan terhadap cadangan penggabungan antara Sunway Berhad dan IJM Corporation Berhad. Menurut beliau, penggabungan dua gergasi korporat itu tidak boleh dilihat semata-mata sebagai urusan perniagaan atau penstrukturan korporat biasa. Sebaliknya, ia berpotensi memberi kesan besar terhadap kepentingan awam, khususnya pegangan rakyat dan Bumiputera dalam sektor korporat strategik negara. Nampaknya pemimpin PKR juga menyuarakan rasa kebimbangan terhadap pengambilalihan IJM oleh Sunway ini.

Persaingan Industri Pembinaan: Tinggal Dua Pemain Besar?

Malaysia pada masa ini mempunyai tiga syarikat pembinaan berskala besar. Pengambilalihan IJM oleh Sunway berpotensi mengecilkan bilangan pemain utama, sekali gus meninggalkan kerajaan dengan hanya dua syarikat besar untuk membida dan melaksanakan projek-projek infrastruktur berskala nasional.

Keadaan ini menimbulkan persoalan mengenai tahap persaingan, kebergantungan kerajaan, dan keseimbangan pasaran dalam jangka panjang.

Isu Bumiputera: Tenaga Kerja dan Pemilikan

Satu lagi aspek sensitif ialah komposisi tenaga kerja IJM. Ketika ini, 57% daripada pekerja IJM adalah Bumiputera. Sekiranya pengambilalihan diteruskan, kesemua mereka akan menjadi pekerja kepada Sunway, sebuah kumpulan yang 60% dimiliki oleh seorang usahawan Malaysia berketurunan Cina.

Walaupun tiada perubahan operasi diumumkan setakat ini, isu pemilikan, hala tuju korporat dan jaminan jangka panjang terhadap kepentingan Bumiputera dijangka terus menjadi perhatian awam.

Harga Saham, Serangan Siber dan Masa Yang ‘Sesuai’

Selepas pelupusan perniagaan perladangannya, IJM berada dalam kedudukan tunai yang kukuh. Namun, pasaran melihat bahawa pelaburan baharu memerlukan masa untuk menggantikan sumbangan pendapatan perladangan, sekali gus menekan harga saham IJM.

Keadaan ini diburukkan lagi dengan serangan siber dan penyebaran berita berniat jahat, yang menurut pemerhati pasaran, telah menekan harga saham dan menjadikan IJM sasaran yang menarik untuk pengambilalihan.

Sunway Untung Guna Saham Tinggi?

Pengambilalihan ini akan dibuat terutamanya melalui saham Sunway, yang kebelakangan ini mencatat peningkatan ketara, termasuk dipacu oleh sentimen positif susulan cadangan IPO perniagaan penjagaan kesihatan Sunway.

Keadaan ini menjadikan tawaran berasaskan saham menarik kepada Sunway, walaupun sesetengah pemerhati memberi amaran bahawa harga saham yang tinggi ini mungkin bersifat sementara.

Kesimpulan

Pengambilalihan Sunway–IJM bukan sekadar urus niaga RM11 bilion. Ia membawa implikasi besar terhadap:

  • pemilikan saham GLIC,
  • kawalan aset strategik negara,
  • struktur persaingan industri pembinaan, dan
  • kedudukan Bumiputera dalam korporat utama negara.

Persoalan utama kini bukan lagi soal harga atau sinergi, tetapi siapa mengawal apa — dan ke mana arah tadbir urus korporat Malaysia selepas ini.

Goncalves

Related Posts

  • Utama
  • February 14, 2026
AG Terajui Jawatankuasa Khas Siasat Dakwaan Pegangan Saham Azam Baki

PUTRAJAYA — Kerajaan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi menyiasat dakwaan pemilikan saham melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, dengan Peguam Negara, Datuk Mohd Dusuki…

  • Utama
  • February 14, 2026
Bukit Aman Siasat Laporan Bloomberg Didakwa Berunsur Fitnah Terhadap Azam Baki

PETALING JAYA — Polis Bukit Aman membuka kertas siasatan berhubung penerbitan artikel oleh Bloomberg yang didakwa mengandungi kenyataan berunsur fitnah terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You Missed

KWSP Diramal Kekal Kukuh, Dividen 2025 Diunjur 6.3%–6.5%

  • February 16, 2026
KWSP Diramal Kekal Kukuh, Dividen 2025 Diunjur 6.3%–6.5%

Berjaya Land Berhad Tukar Nama Kepada Berjaya Property Berhad

  • February 14, 2026
Berjaya Land Berhad Tukar Nama Kepada Berjaya Property Berhad

AG Terajui Jawatankuasa Khas Siasat Dakwaan Pegangan Saham Azam Baki

  • February 14, 2026
AG Terajui Jawatankuasa Khas Siasat Dakwaan Pegangan Saham Azam Baki

Bukit Aman Siasat Laporan Bloomberg Didakwa Berunsur Fitnah Terhadap Azam Baki

  • February 14, 2026
Bukit Aman Siasat Laporan Bloomberg Didakwa Berunsur Fitnah Terhadap Azam Baki

Norza Lepasi Ambang Kawalan, Kini Pemegang Saham Pengawal Citaglobal

  • February 8, 2026
Norza Lepasi Ambang Kawalan, Kini Pemegang Saham Pengawal Citaglobal

Kronologi Skandal E-Waste: Op Metal & Op Nature SPRM Menjerat KP dan TKP Jabatan Alam Sekitar

  • February 2, 2026
Kronologi Skandal E-Waste: Op Metal & Op Nature SPRM Menjerat KP dan TKP Jabatan Alam Sekitar