MYAirline rancang ke Bursa Malaysia pada 2026

SUBANG JAYA: Syarikat penerbangan tambang rendah terbaharu Malaysia, MYAirline Sdn Bhd menyasarkan untuk disenaraikan di Bursa Malaysia Securities Bhd dalam tempoh tiga tahun akan datang, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Rayner Teo.

“Mana-mana syarikat yang mempunyai pemegang saham, sudah tentu terdapat hasrat untuk penyenaraian dan kami mahu menyenaraikan di Bursa Malaysia selepas kami mempunyai keupayaan dalam tempoh tiga tahun,” katanya.

Dalam usaha mencapai tujuan itu, Teo berkata banyak faktor dan kerja telah dibuat bagi memastikan syarikat penerbangan itu berada pada kedudukan yang baik untuk disenaraikan dalam tempoh masa yang ditetapkan.

Pajakan 17 pesawat Airbus A320

Beliau juga berkata syarikat penerbangan itu telah memeterai perjanjian untuk memajak 17 pesawat Airbus A320-200 dan menyasarkan penyewaan sejumlah 20 pesawat berbadan sempit menjelang akhir 2023.

“Secara teknikal sekarang, kami beroperasi dengan lima pesawat dan tambahan satu lagi, telah mengalami kelewatan penghantaran baru-baru ini, bagaimanapun, kami berusaha supaya operasi dapat kembali normal,” katanya.

Baru-baru ini, syarikat penerbangan itu mengumumkan bahawa ia mengalami masalah teknikal yang telah menyebabkan kelewatan dan pembatalan penerbangan. Penambahan pesawat baharu itu sepatutnya mampu menyelesaikan isu-isu tersebut tetapi kelewatannya telah menyumbang kepada masalah berkenaan.

“Sebagai syarikat penerbangan tambang rendah, kami pada dasarnya mengendalikan pesawat berbadan sempit sambil memberi tumpuan kepada laluan jarak dekat. Oleh itu, kami mengehadkan penerbangan dalam jarak empat jam untuk pesawat badan sempit dan kami juga memilih pesawat daripada keluarga model yang sama,” katanya, sambil menambah syarikat penerbangan itu akan mempertimbangkan model dalam keluarga A320 bagi pesawat yang lebih panjang dan cekap bahan api pada masa akan datang.

Lebih banyak laluan, permintaan kukuh

Mengulas lanjut mengenai pengembangan laluan syarikat penerbangan itu, MYAirline mengendalikan lapan laluan yang merangkumi Kota Kinabalu, Kuching, Langkawi, Kota Bahru, Pulau Pinang, Tawau, Sibu dan Miri.

“Menjelang April, laluan kesembilan akan beroperasi iaitu yang menghubungkan Kota Kinabalu ke Tawau iaitu laluan domestik Sabah. Kami akan meneroka sektor domestik yang lain. malah pasukan kami sedang membuat kajian pasaran untuk Sandakan dan Bintulu,” jelasnya.

Syarikat itu banyak memberi tumpuan untuk melancarkan beberapa laluan serantau membabitkan beberapa negara jiran sebagai permulaan.

“Antaranya adalah Singapura, Indonesia, Thailand, Vietnam dan kami sibuk berbincang dengan pengawal selia yang berkaitan di negara-negara ini bagi mendapatkan kebenaran penerbangan secepat mungkin.”

Teo juga menjangkakan pasca COVID-19 akan menyaksikan lonjakan permintaan untuk perjalanan udara dan industri penerbangan pulih terutamanya di rantau ini.

“Memandangkan kami adalah syarikat penerbangan yang baharu, keupayaan untuk melancarkan penerbangan tambahan adalah terhad dan kami tidak dapat melaksanakan penerbangan tambahan semasa Tahun Baru Cina.

“Bagaimanapun, kami merancang mengadakan satu atau dua penerbangan tambahan bagi Aidilfitri dan kami hanya akan menggunakan sebahagian kecil pesawat ganti kami,” katanya.

Tambahnya, MYAirline kini mempunyai hampir 600 kakitangan termasuk kira-kira 100 juruterbang. Ia juga sentiasa mengemas kini tawaran terkini melalui laman web dan aplikasi mudah alihnya.

“Kami sepatutnya menamatkan tahun ini dengan lebih kurang 1,000 pekerja.

“Kami dipanggil ‘Gila’ kerana mahu memulakan sebuah syarikat penerbangan semasa COVID-19 yang menyaksikan semua pesawat pada dasarnya digantung tetapi kami percaya masa adalah sangat kritikal dan, pada masa yang sama, (kami) dapat memperoleh aset dengan tawaran menarik… permintaan sudah pasti akan kembali kukuh,” katanya.

Beliau ketika mengulas mengenai usaha kelestarian berkata agenda hijau adalah antara objektif utama dalam mengendalikan syarikat penerbangan itu, ia dilaksanakan dengan menubuhkan sistem pengurusan dokumen tanpa kertas, diikuti dengan membawa masuk kerusi pesawat mesra alam dan ergonomik pertama di negara ini.

“Mengenai penggantian bahan api dengan bahan api penerbangan mampan (SAF), ia mungkin bukan masa yang tepat disebabkan oleh kos tetapi kami percaya SAF akan menjadi normal pada masa depan dan kami akan menjadi salah satu yang pertama menggunakannya apabila masa agak sesuai,” katanya.

Teo ketika menjelaskan mengenai Pelan Penjanaan Semula Lapangan Terbang Subang yang dicadangkan baru-baru ini memberitahu ia adalah langkah kritikal bagi mewujudkan operasi lapangan terbang bandar, yang mungkin mengambil masa untuk melihat pembangunan semula itu selesai.

“Kami telah pun menghantar surat kepada Kementerian Pengangkutan untuk menyatakan hasrat kami bagi menjadi sebahagian daripada pelan itu dan sasaran kami akan menjurus kepada perusahaan kecil dan sederhana serta korporat berdasarkan kedudukan pasaran untuk pelan penjanaan semula,” katanya.

  • Coelho

    Related Posts

    YTL lantik generasi baharu keluarga Yeoh ke jawatan pengarah

    KUALA LUMPUR: YTL Group mengumumkan pelantikan beberapa anggota generasi baharu keluarga Yeoh sebagai pengarah dan pengarah ganti dalam syarikat kumpulan itu. Dalam kenyataan, kumpulan itu memaklumkan Joseph Yeoh Keong Shyan…

    MKH keluar Bursa 28 Okt selepas Batu Kawan kuasai 95.16% saham

    PETALING JAYA: MKH Bhd akan dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia pada 28 Okt, susulan pengambilalihan oleh Batu Kawan Bhd yang membawa kepada penguasaan 95.16% saham syarikat itu. Dalam makluman kepada Bursa,…

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    You Missed

    YTL lantik generasi baharu keluarga Yeoh ke jawatan pengarah

    • October 24, 2026
    YTL lantik generasi baharu keluarga Yeoh ke jawatan pengarah

    MKH keluar Bursa 28 Okt selepas Batu Kawan kuasai 95.16% saham

    • October 23, 2026
    MKH keluar Bursa 28 Okt selepas Batu Kawan kuasai 95.16% saham

    Zetrix AI: Bayaran sukuk teratur, isu kovenan dibawa kepada pemegang sukuk

    • October 23, 2026
    Zetrix AI: Bayaran sukuk teratur, isu kovenan dibawa kepada pemegang sukuk

    UJSB tanggung kerugian terkumpul RM13.20 bilion, kerajaan sedia RM1 bilion tebus sukuk

    • October 23, 2026
    UJSB tanggung kerugian terkumpul RM13.20 bilion, kerajaan sedia RM1 bilion tebus sukuk

    Exsim Hospitality raih subkontrak pertukangan kayu RM13.49 juta daripada Binastra

    • October 23, 2026
    Exsim Hospitality raih subkontrak pertukangan kayu RM13.49 juta daripada Binastra

    RM2.8B Helios Solar Park In Kelantan Targets Operations By End-2028

    • September 30, 2026
    RM2.8B Helios Solar Park In Kelantan Targets Operations By End-2028