KUALA LUMPUR, 23 Jun 2026 — HSS Holdings Berhad memulakan perjalanan sebagai syarikat tersenarai awam apabila berjaya membuat penampilan sulung di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad dengan sahamnya dibuka pada harga RM0.18 sesaham, menyamai harga tawaran awam permulaan (IPO).
Syarikat yang didagangkan di bawah nama saham HSSBAKERY dan kod saham 0460 itu merupakan pemain industri bakeri yang terlibat dalam aktiviti penyumberan, perdagangan dan pembuatan pelbagai produk makanan berasaskan bakeri untuk pasaran tempatan.
Penyenaraian tersebut membolehkan HSS Holdings mengumpul hasil kasar sebanyak RM13.5 juta melalui penerbitan 75 juta saham baharu, yang akan digunakan untuk memperkukuh kapasiti pengeluaran, mengurangkan beban hutang dan menyokong pertumbuhan operasi kumpulan.
Daripada jumlah dana yang diperoleh, RM2.57 juta diperuntukkan bagi perbelanjaan modal kemudahan pembuatan, RM4.50 juta untuk pembayaran balik pinjaman bank, RM2.93 juta bagi modal kerja dan RM3.50 juta untuk menampung kos penyenaraian.
Ditubuhkan sejak tahun 2004, HSS Holdings mempunyai lebih dua dekad pengalaman dalam industri produk bakeri dan telah membangunkan rangkaian pengedaran yang meluas merangkumi pemborong, pengedar dan peruncit di seluruh negara.
Kumpulan kini menawarkan lebih 6,000 unit simpanan stok (SKU) merangkumi pelbagai kategori termasuk kek, biskut, snek dan produk makanan lain yang dipasarkan di bawah jenama sendiri seperti SINAR®, 合顺成饼家® dan Sa1ko®, selain menghasilkan produk untuk pelanggan di bawah jenama masing-masing.
Pengarah Urusan HSS Holdings, Goh Chen Chang berkata, penyenaraian di Bursa Malaysia merupakan pencapaian penting dalam sejarah syarikat yang akan mempercepatkan pelaksanaan pelan pengembangan operasi.
Menurut beliau, dana yang diperoleh melalui IPO akan digunakan untuk meningkatkan keupayaan pengeluaran serta memperkukuh kecekapan operasi bagi memenuhi permintaan pasaran yang semakin berkembang.
Antara projek yang dirancang termasuk pemasangan barisan pengeluaran biskut baharu, penaiktarafan kemudahan sedia ada, automasi beberapa proses pengeluaran serta pembangunan barisan pengeluaran kek automatik yang dijangka meningkatkan produktiviti dan kapasiti pembuatan kumpulan.
Sementara itu, Pengarah Urusan M & A Securities Sdn Bhd, Datuk Bill Tan berkata, kejayaan penyenaraian tersebut mencerminkan kekuatan model perniagaan HSS Holdings, kepelbagaian portfolio produknya serta potensi pertumbuhan yang masih luas dalam industri bakeri tempatan.
Beliau berkata, dengan jenama yang semakin dikenali, rangkaian pengedaran yang kukuh serta pelan pengembangan yang jelas, HSS Holdings berada dalam kedudukan baik untuk terus memperkukuh kehadiran pasaran dan meningkatkan daya saing dalam industri makanan dan minuman negara.
M & A Securities bertindak sebagai Penasihat Utama, Penaja, Penaja Jamin dan Ejen Penempatan bagi pelaksanaan IPO HSS Holdings.






