Media Prima catat untung bersih RM20.7 juta tahun kewangan 2025

KUALA LUMPUR: Media Prima Bhd (Media Prima), kumpulan media bersepadu terbesar di Malaysia merekodkan keputusan kewangan bagi suku keempat yang kukuh sekali gus memberikan tempoh 12 bulan tahun kewangan 2025 yang kekal berdaya saing.

Bagi suku keempat berakhir 30 Jun 2025, Media Prima merekodkan jumlah hasil sebanyak RM222.5 juta dan keuntungan selepas cukai (PAT) berjumlah RM13.8 juta.

Bagi keseluruhan tahun kewangan 2025, jumlah hasil meningkat kepada RM857 juta berbanding tahun kewangan sebelumnya didorong oleh peningkatan 21 peratus dalam hasil bukan penyiaran yang mencatatkan pengukuhan dalam perniagaan pengiklanan kandungan.

Ia sekali gus membolehkan Media Prima mencatatkan PAT sebanyak RM20.7 juta bagi keseluruhan tahun kewangan 2025.

Segmen penyiaran, penerbitan, pengiklanan-luar-rumah, media digital, dan OMNIA terus mencatatkan sumbangan positif bagi tahun kewangan 2025 walaupun berdepan ketidaktentuan ekonomi dan landskap media yang kompetitif.

Segmen penyiaran mencatatkan pertumbuhan positif dari segi hasil serta hasil keuntungan beroperasi sebelum faedah dan cukai didorong oleh hasil pengiklanan siaran langsung, hiburan dan sukan, manakala segmen penerbitan melaporkan hasil lebih baik berikutan sumbangan iklan yang lebih tinggi daripada platform televisyen.

“Hasil perniagaan pembelian dari rumah meningkat 11 peratus tahun ke tahun hasil daripada keberkesanan kempen taktikal serta penawaran produk baharu.

“Segmen ini terus mengukuhkan kedudukannya dengan mengurangkan kerugian selepas cukai (LAT) sebanyak 74 peratus berbanding tahun sebelumnya,” katanya.

Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid, berkata prestasi tahun kewangan 2025 mencerminkan kebolehan kumpulan dalam mengharungi persekitaran industri yang kompetitif dan sentiasa berubah.

“Keputusan positif dalam segmen utama mencerminkan keberkesanan model perniagaan kami serta strategi yang dilaksanakan bagi menghasilkan pertumbuhan yang mampan.

“Sebagai kumpulan media bersepadu terbesar di negara ini, kami akan terus memperkukuh kedudukan pasaran melalui peningkatan kualiti kandungan, pengoptimuman penyelesaian pengiklanan dan pelaburan dalam inovasi.

“Media Prima kekal komited mencipta nilai jangka panjang untuk pemegang saham di samping memastikan jenama kami terus menjadi pilihan rakyat Malaysia di pelbagai platform,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Datuk Rafiq Razali, berkata tahun kewangan 2025 membuktikan kemampuan menzahirkan prestasi mampan walaupun berdepan cabaran industri.

Beliau berkata, pertumbuhan dalam segmen penyiaran, perniagaan beli-belah dari rumah serta hasil bukan pengiklanan membuktikan keberkesanan strategi kepelbagaian pendapatan dan pengiklanan memanfaatkan sepenuhnya aset media bersepadu kumpulan.

“Kami juga melaksanakan langkah strategik bagi mengoptimumkan kecekapan operasi serta memperkukuh kerjasama rentas perniagaan, sekali gus memastikan kumpulan kekal berdaya saing dalam menghadapi perubahan pasaran.

“Fokus kami untuk tahun kewangan baharu ini adalah untuk memacu inovasi, meneroka peluang hasil baharu, dan membangunkan bersama momentum yang dicapai sepanjang tahun kewangan untuk mencipta nilai jangka panjang kepada semua pemegang taruh,” katanya.

Sepanjang tahun kewangan juga, Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP telah menyalurkan bantuan sumbangan dari masyarakat bernilai RM11.1 juta kepada 491 penerima manfaat, termasuk bantuan kewangan dan keperluan asas.

Sumbangan itu merangkumi inisiatif antarabangsa sebanyak RM4.1 juta disalurkan kepada mangsa konflik di Palestin melalui kerjasama bersama pertubuhan bukan kerajaan.

Komitmen itu juga jelas mencerminkan peranan kumpulan dalam pembangunan masyarakat di peringkat nasional dan juga global.

Lembaga Pengarah telah mengisytiharkan dividen akhir tunggal bertaraf satu peringkat sebanyak 1.5 sen bagi setiap saham biasa untuk tahun kewangan 2025.

Media Prima akan meneruskan momentum tahun kewangan 2025 pada tahun kewangan 2026 dengan meningkatkan mutu kandungan, mempelbagaikan peluang hasil dan mempertingkatkan kecekapan operasi bagi menjana pertumbuhan mampan di seluruh segmen perniagaan.

Goncalves

Related Posts

YTL lantik generasi baharu keluarga Yeoh ke jawatan pengarah

KUALA LUMPUR: YTL Group mengumumkan pelantikan beberapa anggota generasi baharu keluarga Yeoh sebagai pengarah dan pengarah ganti dalam syarikat kumpulan itu. Dalam kenyataan, kumpulan itu memaklumkan Joseph Yeoh Keong Shyan…

MKH keluar Bursa 28 Okt selepas Batu Kawan kuasai 95.16% saham

PETALING JAYA: MKH Bhd akan dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia pada 28 Okt, susulan pengambilalihan oleh Batu Kawan Bhd yang membawa kepada penguasaan 95.16% saham syarikat itu. Dalam makluman kepada Bursa,…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You Missed

YTL lantik generasi baharu keluarga Yeoh ke jawatan pengarah

  • October 24, 2026
YTL lantik generasi baharu keluarga Yeoh ke jawatan pengarah

MKH keluar Bursa 28 Okt selepas Batu Kawan kuasai 95.16% saham

  • October 23, 2026
MKH keluar Bursa 28 Okt selepas Batu Kawan kuasai 95.16% saham

Zetrix AI: Bayaran sukuk teratur, isu kovenan dibawa kepada pemegang sukuk

  • October 23, 2026
Zetrix AI: Bayaran sukuk teratur, isu kovenan dibawa kepada pemegang sukuk

UJSB tanggung kerugian terkumpul RM13.20 bilion, kerajaan sedia RM1 bilion tebus sukuk

  • October 23, 2026
UJSB tanggung kerugian terkumpul RM13.20 bilion, kerajaan sedia RM1 bilion tebus sukuk

Exsim Hospitality raih subkontrak pertukangan kayu RM13.49 juta daripada Binastra

  • October 23, 2026
Exsim Hospitality raih subkontrak pertukangan kayu RM13.49 juta daripada Binastra

RM2.8B Helios Solar Park In Kelantan Targets Operations By End-2028

  • September 30, 2026
RM2.8B Helios Solar Park In Kelantan Targets Operations By End-2028